Saturday, September 4, 2010

Islam.


Saidina Umar Al-Khattab r.a sangat dibanggakan oleh seluruh umat Islam dan sangat digeruni oleh orang-orang musyrikin. Pada awalnya beliau sangat kuat menentang Rasulullah S.A.W dan merupakan seorang musuh Islam yang sangat berani menyeksa orang-orang Islam sehinggalah beliau sendiri memeluk agama Islam. Peristiwa pengIslaman Saidina Umar Al-Khattab bermula apabila pada suatu hari orang-orang Quraisy bermesyuarat bagi melantik seseorang untuk menjalankan usaha untuk membunuh baginda Rasulullah S.A.W. Umar menawarkan diri untuk memikul tanggungjawab itu. Tawaran beliau mendapat sorakan daripada hadirin memandangkan beliau merupakan panglima perang Quraisy yang paling terkemuka dan handal. Umar lantas menggalas pedangnya di tengkuk lalu lalu terus pergi untuk menyelesaikan tanggungjawab tersebut. Dalam perjalanan, beliau bertembung dengan Saad bin Abi Waqqas r.a dari Bani Zuhrah. “Mahu ke mana engkau wahai Umar?” “Aku mahu membunuh Muhammad!” jawab Umar. “Tidakkah engkau sedar bahawa Bani Hashim, Bani Zuhrah dan Bani Abdul Manaf akan bertindak balas membunuhmu”. Umar tersinggung dengan kata-kata yang dikeluarkan oleh Saad lalu menghunus pedangnya. Saad juga bertindak sedemikian untuk mempertahankan nyawanya sambil mengisytiharkan keIslamannya. Pertarungan hampir tercetus dan pada ketika itu Saad berkata: “Terlebih dahulu kamu perbetulkan urusan keluargamu. Adik perempuanmu dan iparmu telah memeluk Islam”. Mendengar sahaja berita itu, kemarahan Umar meluap-luap dan beliau menukar langkah untuk menuju ke rumah adiknya. Pintu rumah adiknya dikunci dari dalam dan kedua-dua adiknya sedang menerima pengajaran Al-Quran daripada Khabbab r.a. Umar mengetuk pintu dan memanggil adiknya supaya membuka pintu. Mendengar suara Umar, Khabbab r.a terus menyembunyikan dirinya dalam sebuah bilik. Beliau terlupa untuk membawa lembaran-lembaran Al-Quran. Apabila pintu dibuka, Umar terus memukul adiknya sambil berkata: “Wahai musuh kepada musuhmu sendiri. Kamu juga telah meninggalkan agama datuk nenek moyang kamu. Apa yang telah kamu lakukan? Siapakah pemilik suara asing yang aku dengar dari luar sana?’’.Adik iparnya menjawab:“Kami sedang bercakap antara satu sama lain”.Umar bertanya kepadanya:“Adakah kamu juga meninggalkan agama nenek moyang kamu danmemeluk agama baru itu?”.Adik iparnya menjawab:“Tetapi apa salahnya sekiranya agama yang kami anuti itu lebih baikdan benar?’’. Apabila mendengar sahaja jawapan daripada adik iparnya itu, Umar bertambah menyinga lalu memukulnya, menarik janggutnya dan membelasahnya dengan teruk. Apabila adik perempuannya mencelah, dia memukul muka adiknya begitu kuat sehingga mengalir darah dengan banyaknya. Adiknya meluahkan perasaannya:“Umar, kami dibelasah hanya kerana kami menjadi seorang muslim. Dengarlah! Bahawa kami berazam untuk mati sebagai seorang Islam. Kamu bebas melakukan apa sahaja terhadap kami kerana Allah sentiasa berada bersama kami”. Dia berasa menyesal dengan perbuatannya apabila melihat adiknya berlumuran darah. Matanya terpandang lembaran Al-Quran yang tidak sempat dibawa oleh Khabbab r.a. Lalu beliau cuba untuk mengambil lembaran Al-Quran untuk melihat apakah kandungannya. Adiknya berkata:“Tidak! Badanmu bernajis dan tidak seorang pun yang bernajis dibenarkan untuk menyentuh Al-Quran”. Umar mendesak ingin menyentuhnya tetapi adik perempuannya enggan membenarkan tindakannya kecuali beliau membersihkan dirinya terlebih dahulu. Akhirnya Umar akur. Setelah beliau mandi beliau mula membaca lembaran tersebut dan surah yang dibacanya ialah Surah Thaha. Beliau memulakannya daripada awal. Apabila sampai kepada ayat berikut, pemikirannya bertukar sama sekali: “Sesungguhnya Aku ini Allah, tidak ada Tuhan selain Aku kerana itu, sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”. (Surah Thaha : ayat 14)Lantas Umar bersuara: “Baiklah bawakan aku berjumpa Muhammad”. Apabila mendengar kata-kata ini, Khabbab pun keluar dari tempat persembunyiannya dan berkata:“Wahai Umar! Berita gembira untukmu. Semalam Rasulullah s.a.w telah berdoa kepada Allah.”Ya Allah! Perkuatkanlah Islam melalui Umar atau Abu Jahal, sesiapa yang Engkau kehendaki”.Nampaknya doa Rasulullah ini diperkenankan untukmu”. Umar pun pergi menemui Rasulullah s.a.w lalu terus memeluk Islam pada pagi Jumaat. PengIslaman Umar memberikan pukulan hebat kepada semangat orang-orang musyrikin. Namun begitu bilangan umat Islam masih kecil untuk mengimbangi seluruh negeri yang memusuhi mereka. Orang musyrikin melipatgandakan usaha mereka untuk menghancur leburkan dan melenyapkan Islam sama sekali. Dengan kehadiran Umar r.a, orang Islam telah mula berani untuk menunaikan solat di Tanah Haram.Abdullah bin Mas’ud berkata:“PengIslaman Umar adalah satu kejayaan yang sangat besar. Penghijrahannnya ke Madinah menambahkan kekuatan dan pengkhalifahannya mendatangkan sebesar-besar rahmat kepada orang Islam”. Ketakutan Umar Terhadap Allah Suatu ketika beliau sedang sibuk dengan satu pekerjaan yang penting. Pada ketika itu, datang seorang membawa pengaduan mengenai suatu hal kecil agar beliau dapat menyelesaikannya. Umar r.a lalu memukul bahu pemuda itu sambil berkata:“Apabila aku duduk untuk menerima perkara tersebut, kamu tidak datang menemuiku tetapi apabila aku sibuk dengan lain-lain perkara yang penting kamu mencelahiku dengan perkara remeh temeh”. Pemuda itu pun pergi dari situ. Tetapi Umar r.a memanggilnya kembali dan memberinya cemeti lalu berkata:“Pukullah aku dengan cemeti ini supaya kesalahanku terbalas”.Pemuda itu berkata;“Aku maafkan kamu kerana Allah”. Umar r.a pulang ke rumahnya lalu bersolat taubat dua rakaat serta mencela dirinya sendiri:“Wahai Umar! Kamu dahulukan hina maka Allah mengangkat darjatmu, kamu sesat tetapi Allah telah memberikan kamu hidayah kepadamu, kamu dulu sangat mengaibkan tetapi Allah memuliakan kamu serta mengurniakan kamu kekuasaan terhadap orang lain. Sekarang apabila salah seorang datang kepadamu mengadu mengenai sesuatu kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya untuk diselesaikan, kamu memukulnya? Apakah jawapan yang akan kamu berikan di hadapan Allah kelak?”. Beliau menangis begitu lama seperti tangisan kanak-kanak kecil.Suatu hari Umar membuat rondaan biasanya ke Harrah bersama hambanya Aslam. Nun jauh di sana kelihatan suatu cahaya api. Beliau berkata:“Mungkin di sana ada sebuah khemah. Mungkinkah suatu khalifah yang tidak dapat memasuki Bandar kerana waktu telah gelap. Marilah kita melihat hal mereka dan menguruskan keselamatan yang perlu untuk mereka”. Apabila tiba di sana didapati seorang wanita dan beberapa orang kanak-kanak sedang menangis. Sebuah periuk berisi air sedang terjerang. Umar menyapanya dengan salam dan dengan keizinan daripada wanita itu beliau datang menghampirinya. Lalu Umar bertanya: “Mengapa kanak-kanak itu menangis?”. Wanita itu tidak mengenali Umar dan dia menjawab pertanyaan Umar dengan sedih: “Mereka lapar”. “Apakah yang ada dalam periuk?”. Umar bertanya.“Hanyalah air dijerang bagi mendiamkan kanak-kanak itu agar mereka pergi tidur dengan harapan makanan sedang disiapkan untuk mereka apabila meraka bangun nanti. Ah! Allah akan mengadili Umar pada hari kiamat kelak kerana membiarkan aku dalam kesusahan”, kata wanita itu.Umar menangis apabila mendengar kata-kata wanita itu.“Semoga Allah merahmatimu. Bagaimanakah Umar dapat mengetahui kesusahanmu ini?’. Wanita itu menjawab: “Apabila dia menjadi amir kami, dia perlulah tahu mengenai kami”. Umar pun kembali ke Bandar dan terus ke Baitul Mal. Beliau mengisi tepung, kurma, lemak dan pakaian serta wang dinar ke dalam karung. Apabila telah siap diisi beliau berkata kepada Aslam: “Sekarang letakkanlah karung ini di belakangku wahai Aslam”. Aslam enggan lalu menjawab: “Wahai Amirul Mukminin, biarlah aku sahaja yang memikulnya”. Umar enggan mendengar kata-kata Aslam malah beliau mendesaknya agar membenarkannya memikul barang itu di atas pundaknya sambil berkata:“Apa! Mahukah kamu memikul beban dosaku pada hari akhirat? Aku mesti membawa karung ini kerana aku akan disoal mengenai wanita ini pada hari akhirat kelak”. Dengan perasaan yang berat Aslam meletakkan barang tersebut di atas belakang Umar lalu bergerak pantas ke khemah wanita tadi. Aslam mengikut beliau dari belakang. Beliau memasukkan sedikit tepung, kurma dan lemak ke dalam periuk dan mengacaunya. Beliau menghidupkan api untuk memasaknya.Aslam berkata; “Aku lihat asap melalui celah-celah janggut Umar yang tebal”. Seketika kemudian masakan tersebut siap. Beliau sendiri yang melayani keluarga itu. Setelah kenyang beliau menyimpan bakinya untuk kegunaan mereka di kemudian hari. Kanak-kanak tersebut sangat gembira setelah memperolehi makanan dan mereka bermain dengan riangnya selepas itu. Wanita itu sangat gembira dan berkata: “Semoga Allah memberi ganjaran kepadamu kerana kebaikanmu. Selayaknya kamulah yang mengambil tempat Umar sebagai khalifah”. Beliau duduk seketika di suatu penjuru yang berdekatan sambil memerhatikan kanak-kanak tersebut. Kemudian kembali ke Madinah. Dalam perjalanan pulang beliau berkata kepada Aslam: “Tahukah kamu Aslam, mengapa aku duduk di situ? Aku telah melihat kesusahan mereka, maka begitulah juga aku mahu melihat mereka riang dan ketawa untuk seketika”. Dikatakan bahawa tatkala Umar mengimami solat Fajar, beliau selalu membaca Surah Kahf, Thaha dan lain-lain surah sambil menangis begitu kuat sehingga kedengaran tangisannya sehingga ke beberapa saf di belakangnya. Suatu ketika beliau membaca Surah Yusuf dalam solat Fajar sampailah beliau ayat 86 yang bermaksud: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang tidak kamu ketahui”. Lantas beliau menangis bersungguh-sungguh sehingga tidak boleh meneruskannya lagi. Dalam solat Tahajjudnya kadang kala beliau akan jatuh dan mendatangkan keuzuran disebabkan terlampau banyak menangis. Bayaran Bantuan Harian Kepada Umar Umar juga hidup dengan berniaga. Apabila beliau dilantik menjadi khalifah selepas Saidina Abu Bakar, beliau pun mengumpul orang ramai dan berkata kepada mereka:“Aku menyara hidupku dengan berniaga. Disebabkan kamu semua telah melantikku sebagai khalifah, aku tidak dapat lagi pergi berniaga. Jadi bagaimana dengan saraanku sekarang?”. Berbagai saranan diberikan agar bayaran harian daripada Baitul Mal diberikan kepadanya. Ali r.a tidak berkata apa-apa. Lalu Umar pun meminta pandangannya:“Wahai Ali! Apakah pendapat kamu?” Beliau menjawab:“Aku cadangkan agar sejumlah wang diambil mencukupi bagi keperluan keluargamu”. Umar menerima cadangannya dan jumlah bayaran harian yang sederhana ditetapkan untuknya. Kemudian beberapa orang termasuk Ali, Uthman, Zubair dan Talhah mencadangkan agar bayaran itu ditambah kearana bayaran sebelum itu jauh daripada mencukupi. Tetapi tiada seorang pun yang berani mengesyorkannya kepada Umar r.a. Mereka pun berjumpa dengan Ummul Mukminin Hafsah, anak perempuannya dan memintanya mendapatkan persetujuan daripada Umar tanpa menyebutkan nama orang-orang yang mengesyorkannya. Apabila perkara ini dibawa oleh Hafsah, Umar menjadi begitu marah dan berkata: “Siapakah yang mengesyorkan perkara ini?”Hafsah menjawab: “Berikan pendapatmu dahulu”.Umar:“Jika aku mengetahui mereka, nescaya aku akan ku tampar muka mereka. Hafsah! Ceritakanlah kepadaku pakaian Rasulullah yang terbaik yang ada di rumahmu?”Hafsah:“Sepasang kain kemerah-merahan yang dipakai oleh Rasulullah pada hari Jumaat atau tatkala menerima perutusan”.Umar:“Apakah jenis makanan yang terbaik yang pernah dimakan oleh Rasulullah di rumahmu?”Hafsah:“Kami makan roti barli biasa. Pada suatu hari daku telah menyapu sekeping roti daripada bekas minyak sapi dan baginda makan dengan penuh selera dan menyungguhkannya kepada orang lain”.Umar:“Apakah jenis hamparan tidur yang terbaik yang digunakan oleh Rasulullah di rumahmu?”Hafsah:“Sehelai kain tebal. Pada musim panas ia dilipat empat dan pada musim sejuk ia dilipat dua, sebahagian dijadikan selimut untuk menutupinya”.Umar:“Hafsah! Pergilah beritahu orang-orang ini bahawa Rasulullah telah menunjukkan satu tauladan peribadinya. Aku mesti ikut teladan itu. Perumpamaan bagi kami bertiga yakni aku, Rasulullah dan Abu Bakar adalah seumpama tiga orang yang bermusafir melalui sebatang jalan yang sama”. Orang yang pertama (Rasulullah) yang memulakannya dengan perbekalan dan telah mencapai matlamatnya. Yang kedua (Abu Bakar) mengikuti jejaknya dan telah bertemu dengannya. Sekarang orang yang ketiga sedang dalam perjalanan. Jikalau dia menuruti jejak mereka nescayalah dia juga akan bertemu dengan mereka. Jika tidak menyimpanglah dia. Suatu ketika beliau terlewat untuk solat Jumaat lalu beliau memberitahu jemaah :“Maafkan aku tuan-tuan semua. Aku terlewat disebabkan pakaianku sedang dibasuh dan aku tidak punya pakaian lain”. Suatu ketika beliau sedang menghadapi makanan, seorang sahabat‘Utbah bin Abi Farqad meminta izin untuk berjumpa dengannya. Beliau mengizinkannya dan menjemputnya makan bersamanya. ‘Utbah pun mulalah makan tetapi roti terlalu kasar sehinggalah beliau tidak dapat menelannya. Beliau pun bertanya:“Kenapa tuan tidak menggunakan tepung yang lebih baik untuk rotimu wahai Umar?” Beliau berkata:“Adakah setiap orang Islam mampu memperolehi tepung yang baik untuk membuat rotinya?” Lalu ‘Utbah menjawab: “Tidak. Tidak semua orang Islam mampu untuk berbuat sedemikian”. Umar berkata lagi:“Oh! Kamu ingin agar aku mengecapi segala kelazatan ketika aku masih di dunia”. Begitulah antara kisah mengenai kezuhudan para sahabat nabi. Dengan menjadikan sahabat nabi sebagai contoh, sekurang-kurangnya kita merasa malu untuk berlumba-lumba di antara satu sama lain dalam mengejar kemewahan duniawi. Kecintaan Terhadap Rasulullah s.a.w Sesiapa pun tidak dapat menafikan keberanian, ketabahan dan kekuatan Umar yang apabila disebutkan namanya sahaja bisa menggentarkan hati dengan penuh ketakjuban dan penghormatan walaupun itu semua sudah berlalu lebih 1400 tahun dahulu. Sebelum Umar memeluk Islam, penyeruan dan pengakuan iman tidak dapat dilakukan secara terang-terangan. Sebaik sahaja beliau memeluk Islam, mulalah orang-orang Islam bersolat di Tanah Haram kerana seorang pun tidak berani mendatangkan mudarat apabila Umar berada di belakang mereka. Walaupun ciri-ciri kepimpinan ada terdapat pada Umar, namun gelombang kejutan dengan kewafatan Rasulullah s.a.w sukar dibendungnya. Beliau berdiri dengan pedang terhunus di tangannya, bingung dan keliru sambil berkata:“Daku akan memancung kepala sesiapa sahaja yang berkata Rasulullah telah wafat. Rasulullah hanya pergi menemui Tuhannya sebagaimana Musa a.s pergi ke Bukit Thur. Baginda akan segera kembali dan akan mengerat tangan dan kaki mereka yang menyebarkan berita palsu mengenai kewafatannya”. Sementara itu Uthman terpegun dan sedih dengan kejadian ini. Sepatah perkataan pun tidak terekeluar dari mulutnya sehinggalah keesokan harinya. Beliau mundar mandir seolah-olah kehilangan kata-kata. Ali dalam keadaan yang berdukacita yang teramat sangat. Beliau kaku tanpa bergerak-gerak. Hanyalah Abu Bakar, didorong dengan cinta kasih terhadap Rasulullah tetap teguh seumpama batu menghadapi keadaan berdukacita. Beliau tidak kehilangan punca. Dengan tenang beliau masuk ke rumah Rasulullah lalu mencium dahi baginda. Kemudian beliau muncul kembali kepada orang ramai. Katanya seperti firman Allah: “Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad). Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”. (Surah Ali Imran : ayat 144)

0 comments:

Post a Comment

 
Copyright 2009 Villa Mak Titi.. Powered by Blogger
Blogger Templates created by Deluxe Templates
Wordpress by Wpthemescreator
Blogger Showcase